Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Ukur
TETAMU Kehormat, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan para jemputan yang hadir.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 20 November. – Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn. Bhd hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan 'Brunei Darussalam Geospatial Challenge (BDGC) 2024' sempena Hari Geographic Information System (GIS) 2024 bertempat di Bangunan Setia Point.
Lima kumpulan mewakili Institusi Pengajian Tinggi iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah menyertai pertandingan BDGC 2024. Pembentangan projek telah diadakan pada 29 dan 30 Oktober 2024 di Brunei Innovation Lab. Setiap kumpulan membentangkan projek masing-masing dan panel hakim telah dilantik bagi memberikan penilaian projek-projek tersebut.
Seramai lima orang hakim terdiri daripada wakil Jabatan Ukur, Pejabat Wawasan Brunei, Geomatics & Metocean (TSM) Brunei Shell Petroleum, Mantan Timbalan Pengerusi Bandaran yang juga mantan Penolong Juruukur Agung dan Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn. Bhd. Panel Hakim telah dilantik berdasarkan latar belakang akademik di dalam bidang Geomatik, GIS dan kefahaman mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam menilai keberkesanan projek yang mengaitkan teknologi dan maklumat geospatial di dalam mendokong hasrat SDGs Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan 'Brunei Darussalam Geospatial Challenge (BDGC) 2024' ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pemangku Juruukur Agung, Dayang Nor Zetty Akhtar binti Haji Abd Hamid, yang juga selaku Ketua Panel Hakim dan diikuti dengan ucapan daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.
SETIAUSAHA TETAP (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak semasa memberikan ucapannya.
Majlis kemudian disusuli dengan tayangan video yang mengimbas kembali perjalanan pertandingan dan memperkenalkan para peserta kumpulan dan panel hakim pertandingan ini. Majlis diikuti dengan pengumuman bagi pemenang pertandingan BDGC 2024.
YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama pertandingan BDGC 2024.
Kumpulan The Caffeinated Cats dengan tajuk projek 'Fire Fighting: Emergency Response' diumumkan sebagai pemenang tempat pertama pertandingan BDGC 2024.
YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat kedua dan ketiga pertandingan BDGC 2024.
Kumpulan GeoTrailblazers dengan tajuk projek 'Geospatial-Based Disaster Risk Reduction for Landslides' meraih tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh kepada kumpulan VisioSpectra dengan tajuk projek 'Maximising Agricultural Efficiency Through Remote Sensing Applications'.
Sementara itu, kumpulan TeamFTI dengan projek bertajuk 'Kabunku: Driving Agricultural Innovation and Investment with Geospatial Technology' dan kumpulan GeoGems dengan projek 'Carbon Management Consultant (AI-Enabled)' masing-masing menerima hadiah saguhati.
PARA penerima hadiah saguhati.
Penyampaian cenderahati penghargaan kepada hakim pertandingan BDGC 2024 dan para peserta pertandingan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis dan seterusnya juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang BDGC 2024.
Acara diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan seterusnya lawatan ke pameran poster peserta BDGC 2024 dan pameran produk daripada Jabatan Ukur, Jabatan Perdana Menteri, Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn. Bhd. dan para penaja acara.
YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan melawat ke beberapa petak pameran.
Hari GIS adalah acara tahunan yang diadakan di seluruh dunia dan pada tahun ini jatuh pada 20 November 2024. Hari GIS bertujuan untuk memperkenalkan sistem maklumat geografi (GIS) dan memberigakan kepada orang ramai tentang geografi, dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menggunakan teknologi GIS.
Pertandingan BDGC 2024 ini diadakan kali pertama di negara ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai teknologi geospatial dan menggalakkan penggunaan teknologi geospatial di dalam mendokong Matlamat Pembangunan Mampan [Sustainable Development Goals (SDGs)] Negara Brunei Darussalam.
Pertandingan ini dibukakan kepada mahasiswa dan mahasiswi dari Institusi Pengajian Tinggi Negara Brunei Darussalam yang mana dua kumpulan yang berkelayakan akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam penyertaan “The ASEAN Geospatial Challenge 2025 (AGC 2025)" yang dianjurkan oleh Singapore Land Authority (SLA). Pendaftaran bagi AGC 2025 telah dibukakan dan akan ditutup pada 22 Januari 2025.
Pertandingan ini juga memberikan peluang kepada peserta untuk menunjukkan keupayaan menggunakan data bagi tujuan visualisasi, analisa dan penyelesaian kepada masalah sama ada menggunakan kaedah GIS untuk merancang daya tahan sebelum bencana, atau menyokong penggunaan tanah yang mampan serta membuktikan bahawa penggunaan teknologi dan maklumat geospatial adalah kaedah yang penting.
Turut hadir pada majlis ini ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Geomatics & Metocean (TSM) Brunei Shell Petroleum, Pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Pembangunan, Pensyarah dan pelajar dari pelbagai institusi-institusi pengajian tinggi serta wakil-wakil dari agensi swasta yang dijemput.
Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.